Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

07 December 2013

Every Soul Shall Taste Death

Assalamualaikum wbt wahai semua bakal ahli kubur. 



Betul tak bahawa sesungguhnya kita semua ni merupakan calon wajib yang akan menjadi ahli kubur satu hari nanti?

Sedarkah kita bahawa ajal atau kematian itu seringkali mengejar kita tanpa mengira di mana jua kita berada. Walau di mana jua kita menyembunyikan diri, sesungguhnya ajal pasti akan menemui kita.

Tahukah kita bahawa ajal itu sentiasa datang menjenguk kita. Ada riwayat yang menyatakan ajal datang menemui kita 5 kali sehari, ada yang menyatakan 7 kali sehari ada yang menyatakan 2 kali sehari. Wallahua'lam. Tapi apa yang pastinya ajal itu boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja. Kita tidak tahu bilakah ajal kita tiba. Kita tidak tahu bagaimanakah sakaratul maut kita.

Mari kita rujuk satu peninggalan Nabi Muhammad s.a.w. kepada umatnya yang tidak akan pernah berubah dan yang akan kekal kandungannya, yakni kitab Al-Quran.

Surah Az-Zumar, ayat 42.

"Allah memegang nyawa (seseorang) pada saat kematiannya dan nyawa (seseorang) yang belum mati ketika dia tidur; maka Dia tahan nyawa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan nyawa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi kaum yang berfikir."

Allahu, Alhamdulillah ya Allah kerana masih memberikan waktu dan peluang kepada kita untuk mengingatiNya, untuk memujiNya, untuk memikirkan kebesaranNya, untuk beribadah kepadaNya, untuk beriman dan taat kepadaNya.

Andai ajal kita tiba seminit yang akan datang ini, apakah yang sedang kita lakukan saat itu? Adakah hati kita sedang mengingatiNya atau adakah kita sedang leka dengan keseronokan dunia yang hanya sementara? Adakah ketika itu iman kita sedang berada di tahap yang tinggi atau iman kita berada di tahap yang rendah? Adakah saat itu, kita sedang melakukan dosa? Nauzubillah.

Astaghfirullahala'zim. Astaghfirullahala'zim. Astaghfirullahala'zim. Marilah kita berfikir sejenak amalan kita. Sama ada amalan kita selama ini merupakan amalan ahli syurga atau ahli neraka.

Sesungguhnya tazkirah yang paling berkesan adalah dengan mengingati mati.



p/s: Seandainya ajalku tiba lebih awal daripada kalian, ampunkan segala dosaku. Ampunkan segala salah dan silapku terhadap kalian. Ampunkan segala perbuatanku yang menyakitkan hati kalian. Ampunkan segala percakapanku yang mengguris hati kalian. Sungguh, aku hanyalah insan yang hina, yang tidak lari dari melakukan dosa dan kesilapan. Ampunkan aku.

No comments:

Post a Comment